Jumaat, 14 Januari 2011

Kaya dan miskin dalam Islam...


SELALUNYA, orang suka menulis mengenai kemiskinan dan cara Islam menanganinya. Ini kerana, kemiskinan seringkali disinonimkan sebagai virus yang merosakkan masyarakat.

Memang benar, kemiskinan yang terbiar akan membiak menjadi barah tahap empat. Ia mampu merosakkan negara. Kerana itulah ia perlu dikawal.

Namun, penulisan kita kali ini cuba merungkai persoalan di sisi lain. Ia mengenai mereka yang kaya. Jarang orang menyebut kaya itu penyakit. Apatah lagi mengumpamakannya seperti sel kanser yang kelak memusnahkan seseorang dan sesebuah masyarakat.

Walhal, dalam al-Quran, Allah SWT menyebut jelas, si kaya yang kedekut itu adalah suatu ejen perosak.
Perhatikan firman Allah SWT dalam paparan berikut: Qarun berkata:

 "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku". Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? (al-Qasas: 78)

Qarun mendabik dada, enggan berkongsi harta dengan kaum Musa. Bukan sekadar itu, dia mencabar Allah SWT bila menafikan harta itu adalah amanah Allah SWT kepadanya.

Akhirnya, Allah membenam Qarun dan segala hartanya ke dalam bumi. Ia adalah suatu pembalasan, bahawa harta jika gagal ditunaikan haknya dengan amanah, akan membawa kebinasaan kepada diri sendiri bahkan masyarakat.
Allah SWT menambah: 

Maka Kami benamkanlah karun bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah dia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya). (al-Qasas: 81)

Inilah kebinasaan akibat kedekut. Walhal, awal-awal lagi Allah SWT sudah mengingatkan bahawa: 

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77)

Dewasa ini, mungkin kita pernah terdengar, masih ada suara-suara sumbang manusia yang memperlekehkan sesetengah yang lain.

Misalnya, si pulan itu pemalas, si pulan itu bodoh, si pulan itu degil dan sebagainya, maka sebab itulah dia miskin dan papa kedana. Ungkapan ini selalunya diucapkan demi menjustifikasikan satu tindakan negatif sesetengah pihak yang kedekut. Kedekut untuk berkongsi.

Hakikatnya, kedekut itulah yang membutakan mata hati si Qarun.
Maka, hari ini sifat kikir itu jugalah yang mengikis sifat ihsan diri insan dan sifat bakhil itu jugalah yang mengunci mati pintu kebajikan.

Golongan ini, melihat orang yang daif dengan pandangan naif. Pandangan yang diselubungi elemen buruk sangka dan memualkan. 
Lalu, kesannya hanya satu - biarkan mereka tanpa dibela. Mereka tidak layak disantuni. Mereka adalah manusia jelik yang sengaja mencari alasan demi mencuri belas ihsan orang.

Soalnya, betulkah persepsi ini? Benarkah manusia yang melarat itu reda dengan kemelaratan yang menguasai diri mereka? Adakah mereka suka hidup dikelilingi kepayahan, tinggal di rumah buruk, sempit dan sesak, dikelilingi pula timbunan sampah-sarap dengan aroma memualkan.

Rezeki yang dikais pagi habis, dikais petang tidak pula cukup untuk esoknya.
Benarkah juga bahawa kemiskinan dan kepapaan itu menjadi alat buat mereka untuk menggamit secebis simpati manusia, meraih belas dan memaksa nurani orang lain agar memberi? Benarkah bahawa mereka selesa hidup dengan kondisi serba menjerat itu, reda untuk tidak mampu merasa makanan yang enak, tidur di katil yang empuk dan dibalut dingin penyaman udara?

Tega benarkah mereka?

*dipetik dr utusan malaysia 14.1.2010